Oleh: ( Abu Syafiq Al-Asy’ary )[1]
( 012-2850578 )
SOAL-JAWAB
AQIDAH AHLI SUNNAH WAL JAMA’AH
Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah Tuhan sekalian alam, Dia-lah yang mencipta ‘arasy,
langit dan bumi, Dia-lah jua Pencipta tempat, wujud-Nya tanpa memerlukan tempat. Selawat
dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad, ahli keluarga dan para sahabat
Baginda.
1- Apa itu aqidah dan kaitannya dengan amalan kita ?
Aqidah membawa erti pegangan dan kepercayaan seseorang. Pegangan dan kepercayaan ini pula terbahagi kepada dua iaitu benar atau salah.
Aqidah yang benar merupakan kunci kepada segala penerimaan ibadah.
Tanpa aqidah yang benar Allah tidak akan menerima segala amalan salih. Sekiranya aqidah seseorang itu salah maka yang akan dicatit hanyalah amalan keburukan maka akan hanya dibalas dengan keburukan.
Justeru itu, perkara yang berkaitan dengan aqidah tidak harus dijadikan gurauan senda atau diremeh-remehkan. Hubungan aqidah dan amalan salih ini berdalilkan firman Allah yang bermaksud:
“Dan barangsiapa melakukan amalan salih dari kalangan lelaki ataupun wanita
dalam ia beriman (beraqidah dengan aqidah yang betul) maka merekalah yang
akan dimasukkan ke dalam syurga dan tidak akan dizalimi walaupun sedikit”.
(Al-Nisa’ ayat 124)
Ayat tersebut jelas menerangkan bahawa apa sahaja amalan salih yang dilakukan orang
lelaki mahupun perempuan, imanlah syarat utama penerimaannya dari Allah. Begitu juga
kenyataan dari hadith Nabi yang bermaksud:
“Semulia-mulia amalan adalan beriman kepada Allah dan Rasul-Nya
(beraqidah dengan aqidah yang betul)”.
(Sahih al-Bukhariyy)
Ini menandakan bahawa aqidah merupakan sesuatu yang teramat penting dan perlu diutamakan dari masalah-masalah yang lain.
2- Apakah aqidah Ahli Sunnah Wal Jama’ah ?
Pertamanya perlu diketahui bahawa kesemua aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah berlandaskan al-Qur’an, al-Hadith serta ijma‘ ulama. Aqidah Ahli Sunnah menyifatkan Allah dengan sifat-sifat yang telah dinyatakan oleh Allah Ta‘ala sendiri di dalam al-Qur’an dan apa yang telah dinyatakan oleh Rasulullah di dalam hadith Baginda tanpa mereka menyandarkan sifat tasybih atau tajsim bagi Allah, mereka juga menafikan dan menolak bagi Allah itu bersifat duduk, bertempat, berkaki, berbetis, zat yang turun naik dari langit ke bumi, berada di atas langit, berada di atas ‘arasy, dan sebagainya dari sifat yang tidak layak bagi Tuhan yang mencipta segala makhluk-Nya.
Ini semua berdasarkan firman Allah di dalam Surah
al-Syura ayat 11 yang bermaksud:
“Tiada sesuatupun yang menyerupai-Nya”.
Aqidah Ahli Sunnah juga mepercayai bahawa Wujud-Nya Allah tanpa diliputi tempat berdalilkan juga dari sabda Nabi Muhammad yang bermaksud:
“Allah telah sedia wujud (azali) dan tiada sesuatupun selain Allah itu azali”.
(Riwayat al-Bukhariyy dalam Sahih al-Bukhariyy)
Hadith Nabi tersebut menunjukkan bahawa Allah sahaja yang wujudnya azali manakala tempat, ‘arasy, langit, dan selainnya bukan azali.
Perkara tersebut wajib diimani berdasarkan juga Ijma‘ para ulama yang telah pun dinukilkan oleh Imam ‘Abd al-Qahir bin Tahir al-Baghdadiyy dalam kitab al-Farq Bayna al-Firaq halaman 333 cetakan Dar al-Ma‘rifah jelas menunjukkan kewujudan Allah bukanlah berada di atas ‘arasy, akan tetapi Allah wujud tanpa diliputi oleh tempat:
“Dan telah disepakati dan di-ijma‘-kan bahawa Allah tidak diliputi tempat”.
3- Siapakah Ahli Sunnah Wal Jama’ah ?
Pada dasarnya, Ahli Sunnah Wal Jama’ah adalah mereka yang berpegang dengan aqidah yang dibawa oleh Nabi Muhammad secara fahaman yang betul dan tidak berpegang kepada zahir nas al-Mutasyabihat. Kelompok ulama yang membawa ilmu aqidah Al-Asya’irah merupakan ِulama Ahli Sunnah Wal Jama’ah pada zaman kini seperti Imam Nawawi, Imam Ibnu Hajar al-Asqolaniyy dan puluhan ribu lagi ulama Islam yang menyebarkan ilmu tauhid Al-Asya’irah.
Begitu juga Al-Maturidiyyah merupakan Ahli Sunnah Wal Jama’ah zaman kini seperti pengikut mazhab Imam Abu Hanifah. Rujuk Ithaf as-Saadah al-Muttaqin Bi Syrhi Ehya ‘Ulumiddin oleh Imam Az-Zabidy.
4- Apa itu ulama As-Salaf & Apa aqidah mereka ?
Ulama As-Salaf pada dasarnya merupakan ulama Ahli Sunnah Wal Jama’ah dan mereka adalah ulama yang pernah melalui kehidupannya pada era 300 Hijriyyah pertama.
Kesemua ulama Salaf berpegang dengan aqidah bahawa: -
Allah adalah Tuhan sekalian alam yang mencipta setiap sesuatu, wujud-Nya tanpa permulaan dan tanpa pengakhiran, Maha Suci Allah dari dilingkungi dan diliputi oleh tempat, bahkan wujud-Nya tanpa berada di sesuatu tempat, bukan di langit wujud-Nya bukan di bumi pula tempat-Nya. Allahlah Pencipta ‘arasy, diciptakannya untuk menunjukkan kekuasaan-Nya, bukan pula ianya dijadikan tempat bagi zat Allah. Kerana Dia Pencipta tempat maka Dia tidak memerlukan tempat.
5- Buktikan bahawa aqidah ulama As-Salaf adalah “Allah Wujud Tanpa Bertempat” ?
Di sini akan dibawa sebahagian sahaja kenyataan dari para ulama As-Salaf termasuk para sahabat Nabi sebagai bukti menunjukkan bahawa aqidah ulama Salaf antaranya adalah
Allah wujud tanpa tempat:
i. Seorang sahabat Nabi yang terkenal dengan keilmuan beliau pernah dipuji oleh Rasulullah iaitu Imam Sayyidina ‘Ali karramallahu wajhah wafat pada 40 Hijriyyah pernah berkata yang bermakna:
“Sesungguhnya Allah telah wujud tanpa tempat,
maka Dia sekarang tetap sedia wujud tanpa tempat”.
Kenyataan tersebut dinyatakan dalam kitab karangan Imam Abu Mansur al-Baghdadiyy dalam kitab beliau yang masyhur al-Farq Bayna al-Firaq pada halaman 256 cetakan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.
Ini memberi erti bahawa di antara aqidah para sahabat serta ulama Salaf adalah ‘Allah wujud tanpa bertempat’ iaitu tidak dilingkungi oleh sesuatu tempat mahupun semua tempat. Dalam halaman kitab yang sama juga dinukilkan kenyataan Imam ‘Ali yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah mencipta ‘arasy adalah untuk menzahirkankekuasaan-Nya dan
bukanlah untuk dijadikan tempat bagi zat-Nya”.
ii. Imam al-Syafi‘iyy rahimahullah yang wafat pada 204 Hijriyyah pernah berkata:
“Dalil bahawa Allah wujud tanpa tempat adalah Allah Ta’ala telah wujud
dan tempat pula belum wujud, kemudian Allah mencipta tempat dan
Allah tetap pada sifat-Nya yang azali sebelum terciptanya tempat, maka
tidak harus berlaku perubahan pada zat-Nya dan begitu juga tiada
pertukaran pada sifat-Nya”.
Kenyataan Imam al-Syafi‘iyy tadi dinyatakan oleh Imam al-Hafiz Murtadha az-Zabidyy di dalam kitab beliau berjudul Ithaf al-Sadah al-Muttaqin juzuk kedua, mukasurat 36 Dar al-Kutub al ‘Ilmiyyah.
iii. Imam yang terkenal dengan karangan kitab aqidah beliau berjudul ‘Aqidah al-Tahawiyyah bernama Imam al-Hafiz Ahmad bin Salamah Abu Ja‘far al-Tahawiyy wafat pada 321 Hijriyyah (merupakan ulama Salaf) telah menyatakan dalam kitab beliau tersebut
pada halaman 15, cetakan Dar al-Yaqin yang bermaksud:
“Allah tidak berada (tidak diliputi) pada enam penjuru (atas, bawah,
kanan, kiri, depan, belakang) seperti sekalian makhluk”.
6- Apakah pegangan ulama As-Salaf pada ayat dan hadith al-Mutasyabihat pula ?
Pegangan ulama Salaf pada ayat dan hadith al-Mutasyabihat mengenai sifat Allah Ta‘ala
adalah didapati kebanyakan ulama As-Salaf memilih jalan tidak mentakwilkan secara tafsiliyy (terperinci) ayat tersebut akan tetapi ditakwil secara ijmaliyy (menafikan makna zahirnya) dan diserahkan makna sebenar kepada Yang Maha Mengetahui tanpa berpegang dengan zahirnya, tanpa menyandarkan sifat tasybih, tajsim dan bertempat bagi zat Allah.
Akan tetapi wujud di kalangan ulama Salaf yang mentakwilkan secara tafsiliyy ayat
Al-Mutasyabihat seperti Imam al-Bukhariyy di dalam kitab beliau Sahih al-Bukhariyy
mentakwilkan firman Allah di dalam Surah al-Qasas ayat 88:
“Wajah-Nya” bererti kerajaan-Nya.
7- Bagaimana pula ulama Al-Khalaf, siapakah mereka dan apa pegangan mereka ?
Ulama Khalaf juga adalah Ahli Sunnah Wal Jama’ah dan mereka dikategorikan sebagai ulama yang hidup selepas 300 Hijriyyah pertama.
Aqidah ulama Khalaf juga tidak terkeluar dari landasan al-Qur’an dan al-Hadith serta ijma‘ ulama.
Aqidah ulama Khalaf tidak sama sekali berlawanan dengan aqidah ulama Salaf, bahkan akidah ulama Salaf itu adalah aqidah ulama Khalaf, begitu jua sebaliknya.
Cuma pada segi penerangan mengenai perkara yang berkaitan dengan sifat Allah dan sandaran kepada Allah, ulama Khalaf telah memilih cara penerangan yang lebih terperinci bagi mengelakkan anggapan yang bersifat tasybih atau tajsim pada sifat Allah.
Contohnya ramai di kalangan ulama Khalaf mentakwilkan secara tafsiliyy (terperinci) sifat-sifat Allah yang tertentu kepada makna yang selari dengan bahasa Arab dan layak bagi Allah serta mudah difahami oleh orang awam dan penuntut ilmu bertujuan menjauhkan anggapan yang tidak benar pada sifat Allah.
Namun ada juga di kalangan ulama Khalaf yang tidak mentakwilkan secara terperinci.
8- Apakah bukti bahawa ulama Al-Khalaf beraqidah “Allah Wujud Tanpa Bertempat” ?
Di sini akan disebut sebahagian sahaja kenyataan para ulama Khalaf bahawa Allah
wujud tanpa memerlukan tempat:
i. Al-Hafiz Ibn Jawziyy al-Hanbaliyy rahimahullah wafat pada 597 Hijriyyah telah menyatakan di dalam kitab karangan beliau berjudul Daf’ Syubhah al-Tasybih mukasurat 189, cetakan Dar Imam al-Nawawiyy:
“Sesungguhnya telah sahih di sisi ulama Islam bahawa Allah Ta‘ala tidak
diliputi oleh langit, bumi dan tidak berada di setiap tempat”.
ii. Imam Hujjah al-Islam Abu Hamid al-Ghazaliyy yang wafat pada 505 Hijriyyah
menyatakan dalam kitab beliau yang masyhur berjudul Ihya’ ‘Ulum al-Din :
“Dan Allah juga tidak diliputi oleh tempat dan Allah tidak diliputi arahenam dan
Allah tidak pula dilingkungi oleh langit dan bumi.”
Rujuk kitab Ithaf al-Sadah al-Muttaqin Fi Syarh Ihya’ ‘Ulum al-Din, juzuk 2, mukasurat 36, cetakan Dar al-Kutub ‘Ilmiyyah, Beirut.
Maka ini bermakna antara aqidah ulama Khalaf adalah Allah wujud tanpa tempat.
9- Apa sebenarnya definisi Ta’wil ?
Ta’wil bererti menjauhkan makna dari segi zahirnya kepada makna yang lebih layak bagi Allah, ini kerana zahir makna nas al-Mutasyabihat tersebut mempunyai unsur jelas persamaan Allah dengan makhluk.
Ta’wilan pula ada dua,
Pertama: Ta’wilan Ijmaliyy iaitu ta’wilan yang dilakukan secara umum dengan menafikan makna zahir nas al-Mutasyabihat tanpa diperincikan maknanya sebagai contoh perkataan istawa dikatakan istawa yang layak bagi Allah dan waktu yang sama dinafikan zahir makna istawa kerana zahirnya bererti duduk dan bertempat, Allah mahasuci dari bersifat duduk dan bertempat.
Manakala kedua adalah: Ta’wilan Tafsiliyy iaitu ta’wilan yang menafikan makna zahir nas tersebut kemudian meletakkan makna yang layak bagi Allah seperti istawa bagi Allah bererti Maha Berkuasa kerana Allah sendiri sifatkan dirinya sebagai Maha Berkuasa.
10- Benarkah ulama As-Salaf tidak melakukan ta’wilan langsung ?
Demikian adalah tanggapan yang tidak langsung berunsurkan pengkajian yang sebenar kerana dari pentakwilan Imam al-Bukhariyy pada surah Al-Qosos ayat 88 dan takwilan beliau dalam Sahih al-Bukhariyy juga pada ayat 56, Surah Hud jelas menunjukkan beliau sebagai ulama Salaf telah mentakwilkan ayat al-Mutasyabihat mengenai sifat Allah. Imam Ibn Hajar al-‘Asqalaniyy di dalam Fath al-Bariyy Syarh Sahih al-Bukhariyy
pada menyatakan hadith al-dhahik (ketawa) berkata:
“Al-Bukhariyy telah mentakwilkan hadith al-dhahik (ketawa) dengan erti rahmat dan redha.”
Begitu juga Imam Ahmad bin Hanbal yang merupakan ulama Salaf telah mentakwilkan
ayat 22, Surah al-Fajr seperti yang diriwayatkan secara bersanad yang sahih oleh Imam
Bayhaqiyy dalam kitab Manaqib Ahmad dari Imam Ahmad mengenai firman Allah:
“Dan telah datang Tuhanmu”
ditakwilkan oleh Imam Ahmad dengan: Telah datang kekuasaan Tuhanmu.
Antara ulama As-Salaf yang mentakwilkan secara tafsiliyy iaitu terperinci pada ayat 5 dalam Surah Taha adalah Imam Salaf Abu ‘Abd al-Rahman ‘Abd Allah bin Yahya bin al-Mubarak wafat 237 Hijriyyah dalam kitab Gharib al-Qur’an Wa Tafsiruhu halaman 113, cetakan Mu’assasah al-Risalah, Beirut: Firman Allah:
“Al-Rahman di atas ‘arasy ber-istawa”, istawa di sini ertinya menguasai.
Maka natijahnya bahawa kedua-dua jalan pilihan ulama Salaf dan Khalaf adalah benar
dan tidak menyimpang kerana kedua-duanya mentakwilkan cuma bezanya kebanyakan Salaf
mentakwil secara ijmaliyy dan kebanyakan Khalaf pula mentakwil secara tafsiliyy.
SOAL-JAWAB
BAHAYA AJARAN WAHHABI
1- Siapa Wahhabi ?
Wahhabi adalah istilah bagi kumpulan ajaran yang diasaskan oleh seorang bernama Muhammad bin Abdul Wahhab An-Najdy .
Nama Wahhabi itu adalah nama yang diberikan oleh kumpulan itu sendiri. Rujuk kitab Wahhabi berjudul “Asy-Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab Aqidatuhu Wa Da’watuhu” karangan Wahhabi Ahmad bin Aal Al-Botomy dan ditahkik oleh Abdul Aziz bin Baz cetakan Al-Jazirah kali kedua 1393h.
Dalam kitab tersebut tertera kenyataan Wahhabi mengakui mereka adalah benar-benar Wahhabi:
“Telah mampu puak dan kumpulan Wahhabiyyun mendirikan daulah mengikut asas-asas Al-Wahhabiyyah. Dan seluruh ajaran agama Islam adalah mesti mengikut Al-Mazhab Al-Wahhabi”.
2- Apakah sejarah ringkas mengenai Muhammad bin Abdul Wahhab & Wahhabi ?
Wahhabi yang diasaskan oleh Muhammad bin Abdul Wahhab 1206H sehingga mendorong pengikutnya mengkafirkan umat islam dan menghalalkan darah mereka.
Sudah pasti manusia yang lebih mengenali perihal Muhammad bin Abdul Wahhab adalah saudara kandungnya dan bapanya sendiri.
Saudara kandungnya Syeikh Sulaiman bin Abdul Wahhab sering memberi peringatan kepada umat Islam dizamannya agar tidak mengikut ajaran baru Muhammad bin Abdul Wahhab kerana ajaran itu menghina ulama Islam serta mengkafirkan umat Islam.
(Sebagai bukti sila rujuk 2 kitab karangan Syeikh Sulaiman tersebut: “Fashlul Khitob Fir Roddi ‘Ala Muhammad bin Abdul Wahhab” dan “Sawaiqul Ilahiyah Fi Roddi ‘Ala Wahhabiyah”).
Bapanya juga iaitu Abdul Wahhab turut memarahi anaknya iaitu Muhammad kerana enggan mempelajari ilmu Islam dan beliau menyatakan kepada para ulama: “Kamu semua akan melihat keburukan yang dibawa oleh Muhammad bin Abdul Wahhab ini”. ( Sebagai bukti sila rujuk kitab “As-Suhubul Wabilah ‘Ala Dhoroihil Hanabilah” cetakan Maktabah Imam Ahmad m/s 275). Demikianlah saudara kandungnya sendiri mengingatkan umat Islam agar berwaspada dengan ajaran Takfir yang dibawa oleh Muhammad bin Abdul Wahhab.
Mufti Mazhab Hambali Muhammad bin Abdullah bin Hamid An-Najdy 1225H menyatakan dalam kitabnya “As-Suhubul Wabilah ‘Ala Dhoroihil Hanabilah” m/s 276 : “Apabila ulama menjelaskan hujah kepada Muhammad bin Abdullah Wahhab dan dia tidak mampu menjawabnya serta tidak mampu membunuhnya maka dia akan menghantar seseorang untuk membunuh ulama tersebut kerana dianggap sesiapa yang tidak sependapat dengannnya adalah kafir dan halal darahnya untuk dibunuh”.
Mufti Mazhab Syafi’e Ahmad bin Zaini Dahlan 1304H yang merupakan tokoh ulama Mekah pada zaman Sultan Abdul Hamid menyatakan dalam kitabnya ” Ad-Durarus Saniyyah Fir Roddi ‘Alal Wahhabiyah m/s 42: “Wahhabiyah merupakan golongan pertama yang mengkafirkan umat Islam 600 tahun sebelum mereka dan Muhammad bin Abdul Wahhab berkata: Aku membawa kepada kamu semua agama yang baru dan manusia selain pengikutku adalah kafir musyrik”.
Sejarah membuktikan Wahhabi telah membunuh keturunan Rasulullah serta menyembelih kanak-kanak kecil di pangkuan ibunya ketika-mana mereka mula-mula memasuki Kota Taif. (Sila rujuk Kitab Umaro’ Al-bilaadul Haram m/s 297 – 298 cetakan Ad-Dar Al-Muttahidah Lin-Nasyr).
Demikian tinta sejarah yang tidak boleh dipadamkan lagi perihal menceritakan kisah sejarah Wahhabi sebenar dari ulama Islam yang thiqah.
3- Dimanakah kesalahan dan penyelewengan Wahhabi ?
1-Kesalahan & penyelewengan Wahhabi dari segi Aqidah:
Pengkaji sejarah ajaran Wahhabi mendapati fahaman ini mirip kepada sistem akidah dibawa oleh seorang bergelar Jahmu bin Sofwan.
Dia meletakkan sistem akidahnya yang celaru berdasarkan kaedah yang digelar “tasybih la tasybih” atau “tajsim la tajsim” iaitu menyamakan dan mentajsimkan Allah dengan makhlukNya kemudian dihujung kenyataan tersebut menafikan pula.
Ini dikenali oleh ulama tauhid sebagai “tamwih” iaitu berdusta dengan cara memutar belit fakta.
Asas akidah Wahhabi adalah memilih seluruh ayat mutasyabihat sebagai sumber rujukan utama akidah dan membelakangi ayat muhkamat dengan hanya mempercayai zahir maknanya sahaja.
Inilah punca utama asas sistem akidah mereka terpesong dari akidah Islam.
Di antara akidah golongan Wahhabi yang jelas bercanggah dengan akidah salaf dan khalaf serta bercanggah dengan akidah Islam adalah :
1- Wahhabi mempercayai bahawa Allah duduk diatas Kursi.
Lihat kitab Wahhabi Fathul Majid Syarah Kitabut Tauhid m/s 485 cetakan Maktabah Muayyad dan Maktabah Darul Bayan karangan Abdur Rahman bin Hasan yang merupakan cucu kepada Muhammad bin Abdul Wahhab.
Ini merupakan akidah yang bercanggah dengan Islam kerana menyamakan Allah dengan makhlukNya, ianya juga tidak dinyatakan dalam Al-Quran dan Al-Hadith serta bercanggah dengan usul keimanan mensucikan Allah dari sifat makhlukNya sepertimana dinyatakan oleh Allah di dalam surah Al-Ikhlas ayat 4 yang bermaksud :
“ Dan tiadalah bagiNya persamaan dengan sesuatu ”.
2- Wahhabi beriktikad bahawa Arash merupakan tempat bagi zat Allah.
Lihat kitab yang sama m/s 627, 629. Ini merupakan mirip kepada akidah yahudi yang sering menyatakan perkara sama di dalam kitab Injil Muharrafah mereka.
Sedangkan akidah Islam perihal kewujudan Allah adalah Dia tidak memerlukan tempat kerana Dia yang mencipta tempat maka wujudNya tidak di tempat dan akidah Wahhabi bercanggah dengan sabda Rasulullah yang bermaksud:
“ Dan Engkau Ya Allah, Yang Az-Zhohir, maka tiada sesuatu diatasMu, dan Engkau Ya Allah, Yang Al-Bathin, maka tiada sesuatu dibawahMu ”. Sohih Muslim.
Di dalam hadith yang sama riwayat Imam Baihaqi didalam kitab beliau yang berjudul Al- Asma’ Wa As-shifat m/s 400 dinyatakan selepas sabda Nabi :
“ Maka, jika diatas Allah tiada sesuatu dan dibawahNya pula tiada sesuatu ini menunjkkan bahawa Allah bukan ditempat ”.
3- Wahhabi menyatakan bahawa Allah mempunyai kedua belah kaki dan Allah akan meletakkan kakiNya didalam api neraka.
Lihat kitab Syarah Tafsir Ayatul Kursy oleh Soleh Uthaimin m/k 19 cetakan Maktabah Ibnu Jauzy .
Ini merupakan persamaan Allah dengan makhlukNya dan ia jelas bercanggah dengan akidah Islam kerana Allah telah berfirman di dalam Surah An-Nahl ayat 74 yang bermaksud :
“ Maka janganlah kamu menyamakan Allah ”.
Ini semua merupakan akidah tasybih, dibawa serta diakui oleh mereka sendiri sedangkan ianya bercanggah dengan akidah Islam yang menafikan sifat kaki, bertempat dan duduk bagi Allah Ta’ala.
Sekiranya hendak saya nyatakan kesemua, maka kita akan dapati lebih dari 20 perkara akidah mereka terpesong dari landasan akidah para Nabi, sahabat, ulama Islam dan seluruh umat Islam sedunia yang lebih ramai bilangannya dari puak Wahhabi.
2- Kesalahan Pendekatan Fiqh Wahhabi:
Dalam segi fekah, golongan Wahhabi mirip kepada Al-La Mazhabiyah iaitu yang mengetepikan dari mengikut hukum hakam yang telah di istimbatkan oleh mana-mana mazhab muktabar dalam Islam.
Walaupun demikian mereka tetap mendakwa sebagai pengikut mazhab Hambali untuk mengaburi mata masyarakat agar tidak membenci mereka.
Tujuan mereka agar kesemua umat Islam mengikut mereka dari segala aspek hukum dan akidah.
Selain itu hukum bid’ah membid’ah juga menjadi cara utama mereka dalam menetapkan sesuatu hukum.
Contohnya, Wahhabi membid’ahkan dan menyamakan sambutan Maulidur Rasul dengan yahudi. Lihat kitab At-Tauhid karangan Soleh bin Fauzan m/s 116 cetakan Riyadh, Saudi. Ini membawa kepada kekecohan umat Islam sejagat. Sedangkan hukumnya adalah diharuskan kerana Rasulullah telah bersabda apabila ditanya mengenai puasa sunat hari Isnin baginda menjawab :
“ Hari itu adalah hari kelahiranku ”. HR Sohih Muslim.
Begitu juga mereka mengharamkan pengkhususan solat dan puasa pada nisfu sya’ban. Lihat kitab yang sama m/s 101. Kenyataan yang popular dari kalangan Wahhabi ini sebenarnya jelas bercanggah dengan hadith yang bermaksud :
“ Apabila tiba malam nisfu sya’ban maka bangunlah pada malamnya (qiamullai) dan berpuasalah pada siangnya ”
Hadith riwayat Ibnu Majah.
Sememangnya dari segi fekah, cara pendekatan mereka cukup terkenal dengan hukum hakam yang ganjil. Jika hendak disenaraikan disini tidak mencukupi kerana ianya melebihi puluhan perkara.
3- Kesalahan Cara Dakwah Wahhabi:
Sering kita mendengar dari golongan ini seruan dakwah salafi. Bagi mereka, selain dari Wahhabi sememangnya tidak mengikut cara dakwah Islam yang berlandaskan ajaran salaf.
Seolah-olah hanya mereka sahajalah berada dalam landasan sirot mustaqim. Akan tetapi, pada hakikatnya mereka banyak terpesong dari cara dakwah salaf yang sebenar.
Lihat sahaja cara dakwah mereka mengkafirkan golongan Islam yang bergelar Asya’irah. Lihat pengkafiran Wahhabi terhadap golongan Islam Asya’irah dalam kitab Wahhabi berjudul Fathul Majid Syarah Kitabut Tauhid karangan Abdur Rahman bin Hasan bin Muhammad bin Abdul Wahhab m/s 453.
Begitu juga Wahhabi menyatakan bahawa Asya’irah bukan dari Ahlus Sunnah Wal Jamaah.
Lihat kenyataan Soleh bin Fauzan dalam kitabnya Min Masyahir Al-Mujaddidin Fil Islam m/s 32 terbitan Riasah ‘Ammah Lil Ifta.
Sedangkan umat Islam sekarang berpegang dengan Asya’irah dan Asya’irah lah merupakan Ahlus Sunnah Waljamaah sepertimana yang ditegaskan oleh ulama’ terkemuka Al-Hafiz Al-Murtadho Az-Zabidi didalam kitab Itham Sadutul Muttaqin bahawa :
“ Apabila dinyatakan Ahlus Sunnah Wal Jamaah maka mereka adalah Asya’irah dan Al-Maturidy ”.
Dengan ini tidak harus menamakan Wahhabi sebagai puak salafi, tetapi perlulah dinamakan mereka sebagai puak Wahhabi walaupun mereka menafikan nama tersebut kerana ulama salaf tidak bermethodkan dakwah mereka seperti Wahhabi.
Semoga kita terselamat dari terjerbak dalam kancah kesesatan.
4- Bagaimana pula terdapat sebahagian ulama yang memuji Wahhabi & pengasasnya ?
Yang lebih mengenali Muhamma bin Abdul Wahhab dan Wahhabi adalah ulama pada zaman mulanya terbit ajaran Wahhabi itu.
Seperti bapanya sendiri dan saudara kandungnya sendiri.
Kedua-duanya telah menolak fahaman yang dibawa oleh Muhammad bin Abdul Wahhab itu dan ulama Islam pada awal lagi telah menolak ajaran Wahhabiyyah.
Maka ulama dizaman permulaan terbit Wahhabi lebih mengenali hakikat Wahhabi dari kita dimutaakhir ini.
Perlu diketahui juga Wahhabi bukanlah bermazhab Hambali kerana mereka banyak memalsukan aqidah Imam Ahmad dan mendakwa mereka sendiri tidak bermazhab. Bagaimana pula harus dikatakan Wahhabi bermazhab Hambali. Kemungkinan pujian terhadap Wahhabi & pengasasnya terbit disebabkan faktor rasuah dan kewangan atau kerana kurang mahir akan fakta sejarah sebenar mengenai ajaran Wahhabi.
5- Apa hukum solat dibelakang imam Masjid Al-Haram sekarang ?
Kita harus menjadi ma’mum kepada mana-mana imam yang tidak jelas kerosakan aqidahnya.
Tetapi sekiranya terdapat bukti yang jelas imam sesuatu tempat itu berakidah kufur seperti menyamakan Allah dengan makhluk maka tidak sah solat dibelakangnya sebagai ma’mum.
Abdur Rahman As-Sudais dan Asy-Syuraim yang merupakan imam di Masjid Haram sekarang adalah sah solat dibelakang keduanya selagi tidak terzahir apa-apa aqidah yang terpesong. Rasulullah mengajar kita menghukum secara zahir berkenaan Islam seseorang itu tanpa membelah hatinya.
Inikan pula kita sering terdengar bahawa Imam As-Sudais bertawassul dengan nabi Muhammad pada doa dalam solatnya di Masjidil Haram.
Nasihat:
Dewasa kini dalam umat Islam ditindas dari musuh-musuh luar seperti Yahudi dan Kristian, janganlah pula kita menambahkan lagi luka umat Islam dengan memasukkan unsur-unsur dan akidah serta ajaran Wahhabi yang bahaya ini ke dalam masyarakat Islam khasnya ditanah air kita ini.
Bagi yang pernah terpedaya dengan ajaran Wahhabi tidak kira apa faktornya percayalah sekiranya anda kembali ke pangkal jalan maka Allah akan membantumu dan insya Allah dimatikan dalam keimanan.
Tambahkan ilmu aqidah Ahli Sunnah Wal Jama’ah sebenar dengan mempelajarinya dari alim ulama dan ustaz-ustaz yang thiqah dipercayai amanah ilmu yang disampaikan.
Tetapkan dirimu dalam cahaya ilmu aqidah Ahli Sunnah Wal Jama’ah Al-Asya’irah.
Semoga Allah menetapkan aqidah sebenar dalam dari kita sehingga dicabut nyawa.
Sekian.
Wassalam.
Segala soalan tambahan bolehlah menghubungi saya ( Abu Syafiq ):
Tel: 012-2850578
www.abu-syafiq.blogspot.com
0 komentar:
Posting Komentar